CUKUP menakutkan apabila parasit halus menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa kita sedari...
Jika
dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah
seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang,
kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.
Malah,
bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah,
kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan
keadaan lebih serius.
Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan
Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin
Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam
penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan
manusia.
Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani
rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah
agak tinggi, katanya.
Protozoa pembunuh
Jelas Norhayati,
infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan
lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera
makan dan turun berat badan.
Jelasnya, protozoa usus daripada
jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta
kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit
berpanjangan.
Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi
parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak
mempunyai gejala yang jelas.
Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.
Keadaan
ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau
virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala, jelasnya yang
turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan
tanah (STH).
Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.
Ujarnya,
meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit
usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.
Disebabkan
sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan
najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan
penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem
pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai.
Ganggu tumbesaran
Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.
Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.
Selain
mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan
mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.
Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut, katanya.
Dalam
pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin
memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber
infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada
manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.
Walaupun
jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan
jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan
kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang, ujarnya.
Sumber : KOSMO Online
Nota Ibu: Kata kuncinya ialah menjaga kebersihan terutama pengurusan tandas dan makanan untuk anak-anak. Cuci tangan setiap kali menguruskan lampin anak-anak, dan setiap kali ke tandas, serta sebelum menyediakan makanan.
No comments:
Post a Comment